TERIMA KASIH MEMBERIKAN AKU CINTA


Written on April 14, 2007 – 10:38 pm | by lulubna84

TERIMA KASIH MEMBERIKAN AKU CINTA

Terima kasih
kerana pernah memberikan aku cinta
dalam sejalur waktu yang kelam
kausuluh terang segala suram.

Terima kasih
kerana cintamu adalah kata berjiwa
yang kauatur sopan tanpa bujukan
tanpa bicara berdepan mata
hanya terutus di angin lalu
mesra menyapa hati yang beku
menyubur rasa yang lama layu.

Terima kasih
kerana cintamu telah reput dalam ingatan
setelah sekian lama kautinggalkan.

WAJAH YANG TAK MAMPU KULUPA

Aku melihatmu
dari pintu kaca yang berdebu
saat kau berlalu, menjinjing sendu
di suatu waktu itu.

Segalanya seakan mengelirukan
Aku berdiri menghadap matahari
yang rakus membakar sesal
dan kilaunya menggilap
kelam perasaan.

Pasti kaunanti titis gerimis
membilas duka lara di sebalik manis rupa
pada wajah yang tak mampu kulupa



Post a Comment